Saturday, 17 December 2011

JANJI

Perempuan dan Janji

Kisah seorang perempuan yang hidupnya dikurung dalam sangkar dan diseksa saban hari. Kesakitan,meronta,menangis. Dan hidupnya sepi. Hanya batang-batang besi memisahkan dia dan dunia luar.

Saban hari dia menjerit dan menjerit tanpa putus asa. Tidak pernah tefikir akan meminta pertolongan. Menjerit hanya untuk mengurangkan kesakitan saban hari.

Jeritan itu disambut seorang lelaki yang menghampiri. Lelaki tersebut kerap datang kepadanya dan kini wujud semacam harapan oleh perempuan untuk lari.Lari bersama lelaki tersebut.

Lelaki tersebut datang kepadanya,dengan lembut,dengan kasih,dengan sayang,juga dengan JANJI.

Janji yang dia akan melindungi,tidak lagi akan disakiti,tidak akan disia-siakan,akan dia sentiasa bersama-sama tatkala susah dan senang. Akan menjadi temannya seumur hidup. Dilepaskan perempuan itu dari sangkarnya dan mereka berlari. Lari jauh sejauhnya. Laju selajunya. Terlalu laju dirasakan tanpa sempat menoleh kiri dan kanan. Tanpa sempat menjenguk masa lampau yang ditinggalkan di belakang sebagai pengajaran.

Dalam perlarian ramai juga manusia sedang berlari di sepanjang jalan dengan niat dan hala tuju masing-masing. Tapi pada masa itu mereka berdua seolah hanyut dalam dunia sendiri. Seperti bukan berpijak di bumi nyata. Larian mereka terlalu deras.

Sampai satu tahap,stamina semakin berkurang,makanan juga tiada disua. Lelaki yang jauh lebih kuat tenaga dan tahap pemikirannya,mengambil keputusan untuk berlari dengan laju untuk  mencari. Mencari sesuatu yang lebih baik dan baru,kononnya untuk kebaikan mereka berdua.

Seketika dalam perjalana,lelaki tersebut tersimpang jauh. Jauh dari dasar pencarian. Lupa akan janji. Lupa akan perempuan yang tertinggal di belakang. Lariannya semakin laju bila apa yang dicari semakin jelas kelihatan.

Perempuan yang ditinggal di belakang semakin jauh. Jauh dari destinasi asalnya. Destinasi akhirnya untuk sampai kepada lelaki tersebut untuk dilindungi,tidak disakiti,tidak disia-siakan.

Perempuan tersebut semakin lemah.Lariannya semakin kecil namun masih berharap lelaki tersebut kembali mengambilnya atas dasar percaya sebuah JANJI.

Dalam perlariannya,perjalanan sepi,berliku-liku,banyak halangannya dan satu hari dalam perjalanan terjumpa akannya kesan-kesan peninggalan lelaki tersebut yang mengatakan dia takkan kembali ke pangkuan.

Perempuan tersebut bingung dan tertanya-tanya. Kenapa. Kenapa ditinggal begitu sendirian terkapai-kapai di dunia yang  baru dia terokai? Ke mana hala tujunya nanti? Ke mana destinasi terakhirnya?

Atas dasar JANJI,perempuan itu gagahi diri memerangi perasaan curiga bercampur baur. Sakit kakinya,sakit emosinya,sakit jiwanya,sakit hatinya. Berlari juga di mencari jejak lelaki.

Sampai satu ketika dia menjadi lemah dan terhenti di satu persimpangan yang jelas. Dia keletihan dan terhenti di situ seketika. Mungkin bukan seketika. Agak lama. Menunggu? Mungkin juga berharap.

Persimpangan itu membuatkan dia keliru. Harus terus jejaki lelaki itu atau pergi ke arah jalan yang satu lagi. Yang baru. Yang asing. Yang mungkin jauh lebih bahya. Yang tidak pasti juga akan destinasi akhirnya apa.

Kerana terlalu sakitnya menahan derita hati. Kerana bertapa nama lelaki itu terpahat bersama JANJI dalam hatinya. Dia tidak rasa dia mampu untuk meneruskan perjalanan dengan hati itu. Di situ juga dia robek hatinya,keluarkan dari tubuhnya,maka diletak hati itu di persimpangan jalan. "Terima Kasih kerana beri saya harapan untuk berpegang pada sebuah janji"

Lalu perempuan tersebut meneruskan perjalanan mengikut arah yang bukan jejak lelaki tersebut. Jalan yang baru. Tanpa hati. Meneroka dunia baru tanpa hati. Mungkin dengan itu dia tidak lagi akan merasa sakit. Sampai bilakah perjalanan ini mampu diteruskan oleh sepasang kaki dan kudrat yang ada?

No comments:

Post a Comment